Seorang lelaki tua bertopi sedang membuka bungkusan plastik sampah saat Nurindah menjengul kepala.Nurindah memekup hidung , dengan hanya sebelah kaki memasuki ruang sampah, dia menghayun bungkusan sampah.Tepat jatuh ke dalam tong sampah.Yes!Nurindah tersenyum dan pakcik tua turut tersenyum.
Nurindah cepat-cepat berlalu, dan lelaki tua itu membelek bungkusan sampah yang dilempar Nurindah tadi.Mencari barang kitar semula agaknya.Berapalah harga sampah-sampah tersebut?Nurindah berfikir dalam hati.
Saat dia menunggu enjin keretanya panas, dia termenung.Teringatkan orang tua yang beberapa kali terserempak dengannya di tempat pembuangan sampah.Pemandangan orang mengumpul sampah-sampah, mencari nilai dari buangan orang sudah biasa di bandar-bandar.Sesuap nasi bukanlah semudah disangka.
Di kampung, pemandangan sebegini sangat jarang.Sebab banyak sampah yang dibakar, cuma kadang-kadang botol boleh ditukarkan dengan ais kerim, itupun zaman emak muda-muda dahulu.Tapi besi buruk laku di mana-mana pun.Sehinggakan pintu pagar, longkang semua dirembat.
Hidup makin menghimpit, rezeki dicari tak kira bagaimana pun.Mengutip sampah langsung tak hina, bahkan mulia.Halal , tidak menganiaya orang lain.Berapa ramai yang sanggup mengutip, mencari kebaikan dari timbunan sampah yang membusuk.Ramai yang lagi suka berpeluk tubuh mengharap hujan emas dari langit.
Teringat satu kata-kata, jadilah seperti lebah sentiasa memandang kebaikan, janganlah seperti lalat sentiasa mencari keburukan.Biarpun sampah itu busuk, hanya mereka yang tabah dan cekal sahaja tahu mencari nilai di dalamnya.
0 comments:
Post a Comment